Felda Gugusan Tersang dibuka pada tahun 1975. Nama Tersang diambil sempena nama kampung yang berhampiran iaitu Kampung Tersang.
Sekolah Menengah LKTP Tersang terletak di dalam daerah Raub, Pahang Darul Makmur. Kedudukan sekolah ini sangat strategik kerana terletak di tengah–tengah kawasan kediaman peneroka felda. Hal ini memudahkan anak-anak peneroka pergi ke sekolah. Kebanyakan mereka menaiki basikal, motosikal dan berjalan kaki untuk ke sekolah yang tidak jauh dari rumah mereka.
Sekolah ini menjadi tumpuan ibu bapa menghantar anak mereka ke alam persekolahan menengah. Hal ini demikian kerana SMK LKTP Tersang merupakan satu–satunya sekolah menengah yang berhampiran. Selain itu, ada juga sekolah–sekolah di bandar Raub dan Felda Sungai Koyan. Namun ibu bapa perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk menampung kehidupan anak–anak yang perlu tinggal di asrama dan membayar tambang bas sekolah setiap hari.
Kini, Felda Tersang mencecah 30 tahun. Pelbagai kemudahan disediakan untuk dinikmati olah peneroka–peneroka di sini seperti sebuah sekolah menengah, masjid, klinik, balai raya, pondok polis, bekalan air, elektrik dan sebagainya.
Pada tahun 1993, pihak kerajaan mengambil inisiatif untuk mendirikan sebuah sekolah di kawasan tersebut.Bermula 3 Jun 1993, kerja-kerja pembersihan, pengukuran dan penyediaan tapak dilakukan.Dalam masa setahun setengah,sebahagian bangunan utama Sekolah Menengah Kebangsaan ( LKTP ) Tersang siap dibina. Walaupun sebahagian kecil bangunan sekolah masih belum siap sepenuhnya,pengambilan pelajar perintis bagi sesi persekolahan 1993/1994 telah dibuat lebih awal iaitu pada 1 Disember 1993 atas desakan daripada ibu bapa.
Bangunan SMK (LKTP) Tersang siap dibina sepenuhnya pada 6 April 1994. Hal ini merupakan satu peristiwa yang bersejarah bagi penduduk daerah Raub amnya dan peneroka di Felda Tersang khususnya. Dengan terbinanya bangunan ini, anak-anak peneroka tidak perlu lagi bersusah payah menunggu bas setiap pagi untuk ke sekolah yang terletak di Felda Sungai Koyan. Segala kos perbelanjaan pembinaan bangunan ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM 5.615 juta.
Pendaftaran kemasukan pelajar telah diadakan di kantin SK (LKTP) Tersang Tiga. Kira-kira 180 orang pelajar yang telah mendaftar dan ditempatkan di perpustakaan, bilik darjah dan bilik gerakan untuk sementara waktu.
Pada 10 Januari 1994, para pelajar dan guru bergotong-royong membersihkan kawasan bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (LKTP) Tersang yang dipenuhi dengan sisa-sisa kayu, paku, lumpur dan sebagainya. Hal ini demikian kerana sekolah ini akan digunakan untuk menempatkan para pelajar yang kini sedang menumpang di Sekolah Kebangsaan ( LKTP ) Tersang Tiga. Pelajar mula dipindahkan secara berperingkat, mereka ditempatkan di sebuah blok bangunan sahaja iaitu di blok D.
Pada permulaan, kira-kira 10 orang tenaga pelajar yang mengajar pelajar-pelajar di SMK ( LKTP ) Tersang. Pengetua yang pertama ialah En. Abdul Aziz bin Hj. Abd Latif seterusnya diganti oleh En. Mohad Isa bin Abd Ghani dan kini pucuk pimpinan sekolah telah dipegang oleh En Zainal Abidin Che Omar. Dari setahun ke setahun, guru-guru dan staf sekolah telah bertukar ganti dan kini bilangan guru telah bertambah kepada kira-kira 63 orang.
Kini Felda Tersang berubah wajah menjadi sebuah felda yang sedang pesat membangun. Keadaan ini seiring dengan perkembangan SMK LKTP Tersang yang menuju ke arah wawasan 2020 seperti yang dilaungkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
No comments:
Post a Comment